Collections of Hadiths

 

From http://www.islam.gov.my/

Doa Agar Ditetapkan Hati Dalam Iman dan Ketaatan

Daripada 'Abdullah bin 'Amru bin Al 'Ash RA, beliau berkata; Rasulullah SAW berdoa:

اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

“Ya Allah, Zat yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu!” (Hadith riwayat Muslim, No: 2654, at-Tirmizi, No: 3522, Ibn Majah, No: 199, Ahmad, No: 6281, 16972)

Dalam riwayat at-Tirmizi: Adalah Rasulullah SAW dalam kebanyakan doa baginda adalah;

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

“Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”

Dalam riwayat Ibn Majah pula: Dan Rasulullah SAW berdoa:

يَا مُثَبِّتَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قُلُوبَنَا عَلَى دِينِكَ

"Wahai Zat yang meneguhkan hati, teguhkanlah hati kami di atas agama-Mu."

 

Matan Hadith:

عَنْ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

]التخريج: صحيح مسلم ,كتاب الْقَدَرِ , بَابُ تَصْرِيفِ اللَّهِ تَعَالَى الْقُلُوبَ كَيْفَ شَاءَ , حديث رقم 2654, عن عبد الله بن عمرو بن العاص رضي الله عنهما[

وَفِي رِوَايَةِ التِرْمِذِي: كَانَ أَكْثَرُ دُعَائِهِ: يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

وَفِي رِوَايَةِ إِبْنِ مَاجَه : وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: يَا مُثَبِّتَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قُلُوبَنَا عَلَى دِينِكَ

Pengajaran Hadith :
  1. Sesungguhnya al-qalb (hati) itu berasal daripada perkataan ‘taqallub’ yang bermaksud kerap bertukar (berbolak balik). Hati diumpamakan seperti bulu di atas pokok yang berubah-ubah ketika ditiup angin. Ia juga berbolak balik diumpamakan lebih cepat daripada air yang mendidih dalam periuk.
  2. Begitulah fitrah hati yang cepat berubah dan bertukar antara baik dan jahat, antara kebaikan dan kejahatan. Maka berhati-hatilah dalam menjaga apa yg ada dalam hati agar tetap berada atas kebaikan. Sesungguhnya penglihatan, pendengaran, persekitaran, pergaulan dan apa yang dimakan atau diminum serta dibaca oleh seseorang mampu menyebabkan hati itu berubah-ubah dengan izin Allah SWT. Namun, Allah SWT jua yang memberikan ilham dan ikhtiar kepada hamba-Nya untuk memilih jalan bahagia ataupun sengsara. Seseorang Muslim dituntut agar memohon hidayah kepada Allah SWT sekurang-kurang sebanyak 17 kali sehari (dalam solat).
  3. Rasulullah SAW sendiri sentiasa memohon kepada Allah SWT agar diteguhkan hati dalam melaksanakan ketaatan dan beragama kerana hidayah itu adalah milik Allah SWT. Jika Allah SWT berkehendak (untuk menjadikan hati seseorang sesat) maka ia akan disesatkan-Nya dan jika Dia berkehendak (menetapkan iman seseorang) maka akan diteguhkan di atas petunjuk-Nya. Justeru, berdoalah agar Allah SWT meneguhkan hati dan tidak memalingkannya daripada rahmat dan hidayah-Nya.
Sumber Rujukan :  
  1. Kitab Sahih Muslim
  2. Kitab Jami’e at-Tirmizi
  3. Kitab Sunan Ibn Majah
  4. Kitab Musnad Ahmad
  5. Kitab Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi
  6. Kitab Mirqatul Mafatih Syarh Misykatul Masobih Li al-Syeikh ‘Ali al-Qari

 

Hukum Melakukan Amalan yang Tidak Dilakukan oleh Rasulullah SAW

Daripada Anas RA, beliau berkata: “Tidak ada orang yang lebih dicintai oleh para sahabat selain daripada Rasulullah SAW. Jika mereka melihat baginda (datang), mereka tidak akan bangun kerana mereka tahu bahawa baginda membenci perbuatan tersebut.” (Hadith riwayat at-Tirmizi, No.2754 dan Ahmad, No. 11895, 13132, berkata at-Tirmizi: “Hadith ini hasan sahih gharib.”)

Matan Hadith:

عَنْ أَنَسٍ قَالَ: لَمْ يَكُنْ شَخْصٌ أَحَبَّ إِلَيْهِمْ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: وَكَانُوا إِذَا رَأَوْهُ لَمْ يَقُومُوا لِمَا يَعْلَمُونَ مِنْ كَرَاهِيَتِهِ لِذَلِكَ .قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ غَرِيبٌ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ
]التخريج: سنن الترمذي , كتاب الأدب , باب ما جاء في كراهية قيام الرجل للرجل , حديث رقم 2754 , عن أنس بن مالك رضي الله عنه.[

Pengajaran Hadith :

Para sahabat RA adalah ikutan terbaik dalam mencintai dan menyanjungi Nabi SAW. Mereka merupakan teladan yang terbaik dalam mengenal dan beramal dengan sunnah baginda SAW. Para sahabat RA akan mempraktikkan semua amalan yang disukai oleh Nabi SAW dan meninggalkan semua amalan yang dibenci oleh baginda SAW walaupun amalan tersebut bercanggah dengan kesukaan atau kebencian mereka.

Sebagai seorang pemimpin, Nabi SAW telah menunjukkan suri teladan yang terbaik. Contohnya, para sahabat RA meninggalkan perbuatan berdiri untuk menghormati baginda SAW kerana mereka mengetahui bahawa baginda SAW membenci perbuatan tersebut. Jika baginda tidak membenci perbuatan tersebut pasti mereka akan berdiri untuk baginda. Perlu difahami bahawa baginda SAW membenci perbuatan tersebut kerana sifat tawadhu‘ baginda, bukan kerana perbuatan tersebut haram. Menurut Imam An-Nawawi di dalam kitabnya 'Syarah Sahih Muslim' (6/313): “Dianjurkan memuliakan seseorang yang memiliki kelebihan dan menyambut mereka dengan cara berdiri ketika mereka tiba. Inilah yang dijadikan hujah oleh jumhur ulama untuk menyatakan sunat berdiri bagi memuliakan seseorang. Al-Qadhi berkata: “Ia bukanlah termasuk dalam kategori berdiri yang ditegah, tetapi tegahan adalah ditujukan kepada mereka yang mengarahkan orang lain berdiri untuknya sedangkan dia dalam keadaan duduk dan keadaan berdiri itu sepanjang masa dia duduk." Saya (An Nawawi) berpendapat, bangun berdiri untuk menyambut kedatangan seorang yang memiliki kelebihan adalah mustahab (sunat). Bahkan anjuran tersebut turut dinyatakan dalam beberapa hadith, manakala larangan mengenainya tidak dinyatakan dengan jelas."

Justeru, kita tidak boleh memahami maksud hadith daripada zahirnya sahaja atau hanya daripada satu hadith untuk beramal atau meninggalkan sesuatu perkara bahkan setiap Muslim hendaklah meneladani serta menerima tunjuk ajar para ulama yang muktabar kerana mereka lebih banyak memahami hadith sama ada ianya sunnah ataupun tidak, dan apakah hukum disebaliknya.

Sumber Rujukan :

Kitab Jami’ at-Tarmizi
Kitab Musnad Ahmad
Kitab Syarh Sahih Muslim Li An-Nawawi
Kitab Tuhfatul Ahwazi Bisyarhi Jami’ at-Tirmizi Li al-Mubarakfuri
Kitab Mirqatul Mafatih Syarh Misykatul Masobih Li al-Syeikh ‘Ali al-Qari
Kitab Syarh wa Al-Ibanah ‘Ala Usuli Al-Sunnah wa Al-Diyanah Li Al-‘Akbari
Kitab Al-Anwar fi Syamail An-Nabiyyi Al-Mukhtar Li Al-Baghawi

 

Rasulullah SAW Pembawa Rahmat ke Seluruh Alam

Daripada Abu Soleh RA, beliau berkata: "Adalah Nabi SAW (pada suatu hari) menyeru para sahabat: "Wahai sekalian manusia! (Ketahuilah) Bahawa sesungguhnya daku ini adalah rahmat yang dihadiahkan (oleh Allah SWT kepada seluruh alam)." (Hadith riwayat Ad-Darimi, No: 15, Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, No: 98, beliau berkata: " Hadith ini adalah sahih dengan mengikuti syarat-syarat yang telah digariskan oleh Imam al-Bukhari & Muslim.

Matan Hadith:

عَنْ أَبِي صَالِحٍ قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُنَادِيهِمْ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ, إِنَّمَا أَنَا رَحْمَةٌ مُهْدَاةٌ.
]التخريج: سنن الدارمي , المقدمة , باب كيف كان أول شأن النبي صلى الله عليه وسلم ، حديث رقم 15 ، عن أبي صالح رضي الله عنه[


Pengajaran Hadith :

Allah SWT telah mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Anbiya', ayat 107. Alam bermaksud seluruh makhluk ciptaan Allah SWT. Dinamakan sebagai Alam kerana ia adalah alamat atau tanda kewujudan, keagungan dan kekuasaan Allah SWT, Tuhan Sekalian Alam.
Rahmat adalah kasih sayang. Nabi SAW diutuskan semata-mata untuk membawa risalah ketauhidan, iaitu dengan mengeluarkan manusia daripada lembah penghambaan sesama manusia kepada semata-mata menyembah Allah SWT, Tuhan Yang Esa. Risalah tauhid ini disampaikan dengan penuh rahmat melalui jalan dakwah iaitu mengajak manusia beriman kepada Allah SWT. Tatkala manusia itu beriman maka alam pun akan mendapat manfaat diatas keimanan tersebut. Itulah rahmat dan hadiah yang besar daripada Allah SWT kepada seluruh alam.
Rahmat yang dibawa oleh Nabi SAW mengatasi segala pemikiran dan sempadan berpandukan wahyu dan hidayah Allah SWT, bukan mengikut hawa nafsu dan logik akal. Hanya dengan wahyu dan petunjuk Allah SWT sahajalah yang akan membawa manusia kepada jalan kebenaran dan kejayaan. Oleh itu, setiap Muslim hendaklah beramal dengan sunnah sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW, para sahabat baginda dan para salafusoleh yang telah mendapat petunjuk daripada Allah SWT.

Sumber Rujukan :

Kitab Sunan Ad-Darimi
Kitab Al-Mustadrak 'Ala Al-Sahihain Li Al-Hakim
Kitab Mirqatul Mafatih Syarh Misykatul Masobih Li al-Syeikh ‘Ali al-Qa
Kitab Syarh Tafsir Ibnu Kathir Li Al-Rajihi
Kitab Tafsir Al-Kabir Li Al-Razi
Kitab Al-Jami‘ Li-Ahkam Li Al-Qurtubi
Kitab Al-Syifa’ Li Al-Qadi Al-‘Iyad

 

Sebaik-baik Infaq Adalah Menafkahi Keluarga

Daripada Thauban RA, beliau berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik dinar (wang atau harta) yang dinafkahkan seseorang ialah dinar yang dinafkahkan untuk keluarganya, dan dinar yang dinafkahkan untuk ternakan tunggangannya (kenderaan) yang digunakan di jalan Allah dan dinar yang dinafkahkan untuk para sahabatnya yang berjuang di jalan Allah." (Hadith riwayat Muslim: 994, at-Tirmizi : 1966, Ibnu Majah : 2760, Ahmad : 21346, 21372, 21416)

Matan Hadith:

عَنْ ثَوْبَانَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَفْضَلُ دِينَارٍ يُنْفِقُهُ الرَّجُلُ دِينَارٌ يُنْفِقُهُ عَلَى عِيَالِهِ وَدِينَارٌ يُنْفِقُهُ الرَّجُلُ عَلَى دَابَّتِهِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَدِينَارٌ يُنْفِقُهُ عَلَى أَصْحَابِهِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ.
]التخريج: صحيح مسلم، كتاب الزكاة ، باب فضل النفقة على العيال والمملوك وإثم من ضيعهم أو حبس نفقتهم عنهم ،حديث رقم ٩٩٤، عن ثوبان رضي الله عنه[

Pengajaran Hadith :

Nafkah menurut istilah adalah perbelanjaan atau sara hidup yang dikeluarkan oleh seseorang kepada mereka yang di bawah tanggungjawabnya, bertujuan untuk membiayai kelengkapan dan hajat yang menjadi keperluan asas kehidupan seperti pendidikan, makanan, ibadah, tempat tinggal, ubat-ubatan, penjagaan anak-anak dan sebagainya.
Tanggungjawab memberi nafkah terletak ke atas ketua keluarga iaitu suami atau bapa. Antara kewajipan pemberian nafkah adalah menjaga kebajikan isteri dan anak walaupun isterinya seorang yang kaya, mempunyai duit sendiri dan mampu menanggung dirinya sendiri. Bahkan jika berlaku perceraian, suami masih wajib memberi nafkah sepanjang isteri berada dalam iddah dan nafkah menguruskan anak.
Seseorang Muslim mendapat pahala yang lebih besar apabila memberi nafkah kepada ahli keluarganya berbanding dengan membelanjakan hartanya kepada orang lain. Justeru itu, setiap suami atau bapa hendaklah memberikan komitmen dan bijak melaksanakan tanggungjawabnya kerana nafkah tidak bersifat mutlak kerana setiap orang tidak sama kemampuannya. Keutamaan nafkah adalah untuk memastikan kebajikan dan keselesaan setiap ahli keluarga bukan kemewahan atau pembaziran yang melampau. Allah SWT tidak pernah menyulitkan hamba-Nya bahkan sentiasa memberi kemudahan buatnya.

Sumber Rujukan :

Kitab Sahih Muslim
Kitab Jami'e at-Tirmizi
Kitab Sunan Ibn Majah
Kitab Musnad Ahmad
Kitab Syarh Sahih Muslim Li An-Nawawi
Kitab Tuhfatul Ahwazi Bisyarhi Jami’ at-Tirmizi Li al-Mubarakfuri
Kitab Faidh Al-Qadir Li Al- Manawi
Kitab Mirqatul Mafatih Syarh Misykatul Masobih Li al-Syeikh ‘Ali al-Qari

 

Doa yang Diajarkan Rasulullah SAW Berkaitan Bulan Safar


Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpaling daripada melakukan sesuatu hajat kerana beranggapan akan bernasib sial maka dia telah melakukan syirik.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah penebus anggapan itu? Baginda menjawab: “Hendaklah seseorang daripada kamu mengucapkan:
اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ
(Ya Allah, tiada kebaikan melainkan kebaikan-Mu dan tiada kesialan kecuali yang telah Engkau takdirkan dan tiada tuhan yang disembah selain Engkau).” (Hadith sahih riwayat Ahmad, No. Hadith : 6748)

Matan Hadith:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ رَدَّتْهُ الطِّيَرَةُ مِنْ حَاجَةٍ فَقَدْ أَشْرَكَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا كَفَّارَةُ ذَلِكَ قَالَ أَنْ يَقُولَ أَحَدُهُمْ اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ
]التخريج: مسند أحمد بن حنبل , مُسْنَدُ المُكْثِرِينَ مِنَ الصَّحَابَةِ , مسْنَدُ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرو بْنِ الْعَاصِ رَضِيَ عنهما ,من ردته الطيرة من حاجة فقد أشرك , رقم الحديث 6748 , وقال أحمد شاكر خلاصة حكم المحدث إسناده صحيح[

Pengajaran Hadith :

Bulan Safar adalah bulan kedua dalam kalendar Hijrah selepas bulan Muharram. Antara maksud Safar adalah bulan yang diharamkan untuk berperang sebagaimana yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar. Safar juga bermaksud ulat yang berada di dalam perut manusia ketika lapar (menyebabkan muka orang yang mengalaminya kelihatan kuning), yang berkemungkinan boleh membawa maut. Terdapat ulama yang berpandangan bahawa ianya lebih teruk serta berjangkit berbanding penyakit kulit.
Masyarakat Arab Jahiliyyah menganggap bahawa perkara buruk akan berlaku apabila datang bulan Safar. Bahkan mereka menggelar bulan Safar sebagai bulan sial. Tanggapan tersebut termasuk tatayyur yang dilarang dalam Islam. Antara larangan yang lain adalah menganggap sial bagi hari tertentu seperti hari Rabu, menganggap bulan Syawal sebagai bulan sial secara khusus dalam urusan pernikahan, larangan untuk bermusafir pada bulan Safar dan lain-lain. Maka pandangan-pandangan ini adalah satu kepercayaan masyarakat arab Jahiliyyah yang karut dan bertentangan dengan ajaran Islam. Kedatangan Nabi SAW menolak kesemua kepercayaan tersebut kerana ianya adalah amalan syirik.
Justeru, setiap Muslim hendaklah memantapkan keimanan dengan percaya kepada Qada’ dan Qadar yang telah ditetapkan Allah SWT serta menghilangkan tanggapan yang silap tersebut dengan bertawakal kepada Allah SWT. Selain daripada itu, dianjurkan agar sentiasa membaca doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith ini.

Sumber Rujukan :

1. Kitab Musnad Ahmad
2. Kitab Fathu Al-Bariy Syarh Sahih Al-Bukhari Li Ibn Hajar Al-Asqolani
3. Kitab Mirqatul Mafatih Syarh Misykatul Masobih Li al-Syeikh ‘Ali al-Qari
4. Kitab Ma‘ariju Al-Qabul bisyarhi Sulami Al-Wusul Ila ‘Ilm Al-Usul Lil Al-Hakami

 

Calon Penghuni Kubur

Daripada Ibnu Umar RA, beliau berkata; Rasulullah SAW pernah memegang sebahagian daripada tubuhku seraya bersabda: "Wahai Abdullah, jadilah kamu di dunia ini seakan-akan orang asing atau seorang pengembara, dan persiapkanlah dirimu sebagai calon penghuni kubur." (Hadith riwayat at-Tirmizi, No: 2333, Ibn Majah, No: 4114, Ahmad, No: 4865)

Matan Hadith:
عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِبَعْضِ جَسَدِي فَقَالَ: يَا عَبْدَ اللَّهِ كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ وَعُدَّ نَفْسَكَ فِي أَهْلِ القُبُورِ
]التخريج: جامع الترمذي , أبواب الزهد , باب ما جاء في قصر الأمل , حديث رقم 2333 , عن عبد الله بن عمر بن الخطاب[

Pengajaran Hadith :

Allah SWT bersifat Ar-Rahman (Maha Pengasih). Maha Pengasihnya Allah SWT menyeluruh kepada semua hamba-Nya di atas dunia ini. Manakala di akhirat kelak Allah SWT bersifat Ar-Rahim (Maha Penyayang), hanya akan memberikan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dengan balasan syurga.
Dunia adalah tempat persinggahan dalam perjalanan menuju akhirat. Ianya bersifat sementara dan terlalu singkat sehingga kesempatan dan peluang yang ada tidak boleh ditangguh-tangguhkan. Ketika sihat sebelum datangnya sakit dan waktu lapang sebelum datangnya waktu sibuk, perlu direbut untuk melakukan amal ibadah serta ketaatan sebelum datangnya ajal.
Akhirat pula adalah tempat pembalasan atas setiap amal yang dilakukan di dunia. Oleh itu, lakukanlah persiapan dengan sebaik-baiknya. Bagi mendapatkan kebaikan dalam beramal, seseorang itu hendaklah menganggap diri seperti orang yang sudah mati, tiada lagi cinta kepada dunia bahkan cinta dan rindunya hanya untuk kembali ke akhirat, negeri asalnya yang kekal abadi.

Sumber Rujukan :

Kitab Jami’ at-Tarmizi
Kitab Tuhfatul Ahwazi Bisyarhi Jami’ at-Tirmizi Li al-Mubarakfuri
Kitab Sunan Ibn Majah
Kitab Mirqatul Mafatih Syarh Misykatul Masobih Li al-Syeikh ‘Ali al-Qari
Kitab Fathul Mu‘in Bisyarhi Al-Arba‘in Li Ibn Hajar Al-Haytami
Kitab Minhajul Al-Mukhlisin Syarh Kitab Al-Yakin Li Ibn Abi Dunya
Kitab Dalil Al-Falihin Li Turuqi Riyad Al-Solihin Li Muhammad Ibn ‘Allan

 

Pesanan Untuk Musafir

Daripada Salim RA bahawa Ibn Umar RA berkata kepada seseorang apabila hendak melakukan musafir : “Datanglah kepadaku, aku ingin menyampaikan ucapan perpisahan sebagaimana Rasulullah SAW mengucapkan kepada kami, kemudian beliau mengucapkan:

أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ
Bermaksud: “Aku menyerahkan kepada Allah urusan agama kamu, amanah kamu dan pengakhiran amalan kamu.” (Hadith riwayat at-Tirmizi, No. Hadith : 3443, Abu Dawud, No. Hadith : 2600, Ibnu Majah, No. Hadith : 2826, Ahmad, No. Hadith : 4296, 4550).
Matan Hadith:
عَنْ سَالِمٍ أَنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ يَقُولُ لِلرَّجُلِ إِذَا أَرَادَ سَفَرًا ادْنُ مِنِّي أُوَدِّعْكَ كَمَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُوَدِّعُنَا فَيَقُولُ أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ
]التخريج: جامع الترمذي , كِتَاب الدَّعَوَاتِ , بَاب مَا يَقُولُ إِذَا وَدَّعَ إِنْسَانًا , حديث رقم 3443 , عن سالم بن عبد الله بن عمر الخطاب , قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ غَرِيبٌ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ[

Pengajaran Hadith :

1. Musafir adalah perjalanan seseorang hamba daripada satu tempat ke satu tempat yang lain. Ianya boleh menyebabkan kesulitan dan kemudharatan kerana menimbulkan kesukaran, keletihan dan menghalang keselesaan, kerehatan serta kesempurnaan dalam beribadah sepanjang perjalanan. Justeru, Rasulullah SAW telah mengajar para sahabat dan umat Baginda SAW mengenai sunnah semasa bermusafir agar setiap kesusahan dan kesukaran yang dihadapi tidak terlepas daripada mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

2. Antara sunnah yang sangat baik untuk diamalkan apabila seseorang hendak melakukan musafir ialah mengucapkan doa kepadanya sebagaimana doa di atas. Terdapat juga dalam hadith yang lain doa berikut:
زَوَّدَكَ اللَّهُ التَّقْوَى وَغَفَرَ ذَنْبَكَ وَيَسَّرَ لَكَ الْخَيْرَ حَيْثُمَا كُنْتَ
Bermaksud : “Semoga Allah SWT membekalkanmu dengan ketaqwaan, mengampunkan dosamu dan Allah memudahkan kebaikan untukmu di mana sahaja kamu berada.”

3. Kebiasaannya, bermusafir akan menyebabkan hilangnya kesenangan dan keselesaan dalam melakukan amalan harian mahupun beribadah. Oleh sebab itu, Islam telah memberikan rukhsah (keringanan) kepada seseorang yang bermusafir. Sebagai Muslim hendaklah kita mendoakan orang yang akan bermusafir dan berpesan kepada beliau untuk sentiasa bertaqwa dan menjaga amalan ibadah sepanjang perjalanan tersebut.


Sumber Rujukan :
1-Kitab Jami’ at-Tarmizi
2-Kitab Sunan Abu Dawud
3-Kitab Sunan Ibn Majah
4-Kitab Musnad Ahmad
5-Kitab Tuhfatul Ahwazi Bisyarhi Jami’ at-Tirmizi Li al-Mubarakfuri
6-Kitab Mirqatul Mafatih Syarh Misykatul Masobih Li al-Syeikh ‘Ali al-Qari
7-Kitab Nuzhatul Muttaqin Syarh Riyaadus Salihin Lil Imam al-Nawawi

 

*source: http://www.islam.gov.my/e-hadith