PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Manusia Yang Dibenci Allah

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْغَضُ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ

Dari Aisyah RA, ia mengatakan; Rasulullah SAW bersabda: "Manusia yang paling dibenci Allah adalah yang keras kepala dan suka membantah (suka bermusuh)" (HR Bukhari No: 6651) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Keras kepala adalah sifat yang beriringan dengan sifat sombong, bongkak, takbur dan ego. Kesemua sifat-sifat mazmumah ini amat dibenci oleh Allah SWT dan merupakan sifat Iblis.

2.  Iblis menjadi kufur akibat dari sifat keras kepala dan sombong dengan merasakan dia lebih baik dari orang lain.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ

Dari Abdullah RA,  Nabi SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan." (HR Muslim No: 133) Status: Hadis Sahih

3.  Orang yang suka membantah adalah mereka yang suka bertengkar dan suka menegakkan pendapatnya sendiri walaupun salah. Ia akan menjadikannya  seorang yang angkuh dan sombong. Baginya dia sahaja yang betul dan orang lain semuanya salah. Dia sukar untuk berbincang dengan cara baik kerana dia menganggap pendapat orang lain rendah dan pendapatnya sahaja yang baik dan perlu diutamakan. Akhirnya mewujudkan ketidak sefahaman dan permusuhan.

Marilah kita menjauhi sifat keras kepala dan suka membantah. Bukalah minda kita untuk menerima teguran dan nasihat. Allah memberikan kepada kita akal untuk berfikir. Jika ada pandangan dan fakta yang lebih baik maka terimalah dengan berlapang dada.

Jangan sekali-kali berkeras dan sombong dengan apa yang kita milik.

Ya Allah lembutkanlah hati kami untuk menerima yang hak dan kebenaran. Jauhilah kami dari sifat keras kepala dan suka bermusuh.

#SemarakUkhuwahMemacuPerubahan
#MalaysiaMenujuNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

03hb April 2019

27hb Rejab 1440H