Selepas kejadian pembunuhan Mahsuri atas perintah Datuk Kerma Wijaya, Pulau Langkawi telah diserang oleh pihak Siam. Pertempuran yang dahsyat sehingga mengorbankan Datuk Kerma Wijaya dan panglima-panglima yang hebat telah berlaku di Selat Berhala Balik yang kini merupakan selat jalan masuk ke Pelabuhan Kuah sekarang.
Melihat kepada keadaan yang tidak memihak kepada pihak Datuk Kerma Wijaya, beliau telah mengarahkan penduduk Langkawi supaya menanam beras simpanan yang ada agar tidak jatuh ke tangan pihak musuh. Kesan kekalahan itu telah menyebabkan beras simpanan yang ditanam itu telah terbakar.
Kekalahan Datuk Kerma Wijaya dan kejadian beras terbakar dikatakan ada kaitan dengan Sumpahan Mahsuri. Selepas melalui pelbagai cabaran dan proses pembangunan, kini kawasan ini telah dipagar sebagai tanda letaknya tapak beras terbakar. Kawasan ini terletak di dalam kawasan tanah persendirian di kawasan Padang Mat Sirat.